Ketahui Punca dan Sebab Tidak Lulus Psikometrik SPA

Ramai yang mengeluh dan rasa kecewa kerana tidak melepasi penilaian Ujian Psikometrik yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk jawatan yang mereka pohon menerusi SPA9. Mengapa gagal? Mengapa ramai calon tidak lulus di dalam ujian ini?

Sebenarnya semua calon yang dipanggil untuk Ujian Psikometrik adalah merupakan calon-calon yang layak dan lulus berdasarkan tapisan awal menerusi butiran yang diisi oleh menerusi borang permohonan perjawatan SPA.

Ujian Psikometrik SPA Format 2023

Dari maklumat yang disertakan oleh calon, sistem akan memilih secara automatik calon-calon yang memenuhi kriteria umum berdasarkan kepada maklumat kelayakan akademik, kemahiran, kebolehan, bakat serta beberapa aspek lain (jika sedang berkhidmat) untuk ke penilaian psikometrik.

Menerusi penilaian psikometrik, sistem yang dibangunkan SPA akan mencungkil kecenderungan calon samada sesuai atau tidak dengan jawatan yang dipohon. Calon yang mempunyai jumlah markah merit keseluruhan yang menepati julat kelulusan akan dikategorikan sebagai 'Melepasi Penilaian Ujian Psikometrik'.

Tiada istilah gagal atau lulus di dalam ujian psikometrik, kerana semua soalan mahupun jawapan adalah dianggap betul dan tiada yang salah. Bermakna, semua soalan atau jawapan yang diberikan calon diberikan merit skor tertentu. Cumanya, pemberat skor merit adalah berbeza pada setiap jawapan yang disertakan.

Tidak Memohon Jawatan Yang Betul

Menerusi satu perkongsian video oleh Pegawai Psikologi SPA, antara sebab ramai calon tidak melepasi tapisan ujian penilaian psikometrik adalah kerana calon tidak memilih jawatan yang sesuai dengan diri mereka pada peringkat permohonan di SPA9.

Ramai yang membuat pilihan kerana ia merupakan cita-cita, permintaan ibu bapa, tangga gaji, keselesaan pada tugasan dan skop kerja. Dan paling ramai membuat pemilihan berdasarkan kepada kelayakan akademik semata-mata.

Jadi tidak hairanlah mengapa ada sesetengah jawatan mempunyai kurang calon ke peringkat penilaian psikometrik dan untuk sesetengah jawatan lain yang popular seperti Pegawai Tadbir, Jurutera, Penguatkuasa mempunyai puluhan malah ratusan ribu permohonan.

Lalu mengakibatkan jumlah untuk melepasi tapisan adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah permohonan jawatan tersebut.

Apatah lagi sistem akan memilih calon yang berjaya melepasi tapisan berdasarkan faktor lain termasuklah jumlah calon yang memohon, jumlah calon yang mengambil ujian dan jumlah kekosongan jawatan yang ada.

Sama juga seperti penilaian temu duga, kejayaan atau kegagalan individu dalam ujian ini bergantung kepada kejujuran seseorang individu melaporkan tentang dirinya dalam memberikan reaksi mengenai sesuatu perkara yang ditanyakan, di mana aspek kebolehpercayaan dan kesahan maklumat yang diberikan menjadi sebahagian daripada asas penilaian dalam ujian.

 

Oleh kerana bilangan calon yang memohon sesuatu jawatan itu adalah besar bilangannya, penentuan calon lulus dalam urusan ujian psikometrik juga mengambil kira bilangan calon yang akan dipanggil ke peringkat temu duga iaitu berdasarkan nisbah bilangan kekosongan jawatan dengan bilangan yang ditetapkan untuk dipanggil ke peringkat temu duga, contohnya jika kekosongan ialah 20, maka bilangan calon yang berjaya dipanggil ke peringkat temu duga adalah 200 orang (1:10) iaitu yang terbaik berdasarkan merit skor semua calon yang menduduki ujian.


Konstruk utama penilaian ujian psikometrik SPA melibatkan penilaian terhadap sahsiah, integriti dan juga kesihatan mental. Menerusi penilaian secara berkomputer ini, calon akan diberikan soalan-soalan psikometrik yang memenuhi keperluan team fit, organization fit dan job fit.

Soalan-soalan di dalam ujian penilaian akan diberikan berdasarkan kepada skim perjawatan (gred jawatan) dan kumpulan perjawatan (profesional, pengurusan, pelaksana); selain ketetapan atau kehendak Kementerian/Jabatan/Organisasi terbabit dalam pengisian jawatan.

Soalan-soalan direka untuk menguji psikologi calon. Ia juga direka samada jawatan yang dipohon itu membabitkan pembabitan sosial, klinikal, mekanikal dan sebagainya.

Cara berfikir seorang jurutera atau penyelidik tidak sama dengan cara berfikir seorang pegawai belia ataupun penguatkuasa

Contohnya, jika untuk jawatan Pegawai Belia dan Sukan atau Pembantu Belia dan Sukan, calon perlu memiliki trait personaliti yang membabitkan sosial seperti pergaulan umum, pergaulan dalam kumpulan, sifat toleransi, bekerjasama, suka membantu dan menuruti arahan.

Manakala untuk jawatan seperti Penyelidik, calon perlu memiliki trait personaliti seperti kecenderungan membuat kajian, suka kepada perbincangan, berpemikiran kritis, suka kepada keputusan yang tepat dan sebagainya.

Untuk jawatan seperti Jurutera, calon perlu seorang yang cenderung dengan penyelesaian berfakta, tidak beremosi, boleh bekerja di luar kawasan atau di luar waktu, bertanggungjawab dengan keputusan, dan beberapa aspek lain yang telah ditentukan di dalam sistem penilaian psikometrik.

Mengapa Tidak Lulus Ujian Psikometrik?

Mengapa Tidak Lulus Ujian Psikometrik SPA

Jadi apa yang menyebabkan ramai calon tidak lulus di dalam ujian psikometrik SPA?

Ujian Psikometrik SPA adalah ujian kendiri. Ia adalah ujian untuk calon menilai diri sendiri.

Berikut antara sebab yang diberikan oleh Pegawai Psikologi SPA dalam sesi video penerangan berkaitan ujian ini:

  • Calon kurang jujur dalam melaporkan atau memilih jawapan
  • Jawapan diberikan tidak menggambarkan personaliti calon
  • Mengambil jawapan orang lain, atau meminta pendapat orang lain memilih jawapan
  • Jawapan diberikan tidak konsisten dengan set soalan untuk trait penilaian tertentu
  • Tidak menjawab kesemua soalan
  • Kurang berkeyakinan dalam menjawab soalan dengan skala jawapan kecenderungan
  • Banyak menjawab 'Tidak Pasti', 'Tidak Tahu' atau memilih jawapan di 'tengah'
  • Menjawab soalan dalam keadaan atau persekitaran tidak selesa
  • Masalah teknikal


Tahukah anda bahawa anda boleh logout dari sistem penilaian jika ada sesuatu yang menggangu dan kemudian login semula untuk meneruskan ujian?

Buat mereka yang telah beberapa kali mengambil ujian ini namun gagal melepasi tahap penilaian psikometrik, usah rasa kecewa dan putus asa. Apa yang perlu anda buat setelah menerima keputusan ujian ialah membuat penilaian semula kepada permohonan perjawatan yang dibuat di SPA9.

Adakah jawatan tersebut benar-benar yang anda inginkan bersandarkan kepada kecenderungan anda? Jika Ya, teruskan usaha dan buat latihan menguji personaliti diri anda agar anda betul-betul berkelayakan untuk jawatan pilihan.

Jika Tidak, teruskan usaha dan buat pilihan perjawatan yang sesuai dengan personaliti anda. Kenali jawatan yang ingin dipohon sebelum mengisi borang permohonan jawatan di SPA9.

Semoga membantu.