Tips & Cara Nak Lulus Temuduga Kerja Jawatan Kosong SPA

Siapa yang tak nak lulus dalam sesi temuduga kerja, ye tak? Lagi-lagi kalau ia merupakan temuduga atau interview pertama kali. Dah tu pulak, kemasukan ke dalam sektor perkhidmatan awam atau kerja kerajaan.

Ramai para lepasan IPT dan graduan yang memohon untuk masuk kerja kerajaan ni. Bila ada je iklan jawatan kosong disiarkan oleh pihak SPA, maka ramailah yang akan masuk laman web SPA membuat permohonanan secara online untuk masuk kerja kerajaan ni.

Nak Lulus Temuduga Jawatan Kosong SPA? Baca 10 Tips Di Bawah ..

Tips Untuk Lulus Temuduga SPA
Di sebalik peperiksaan yang dikenakan syarat oleh SPA, mereka yang mahu kerja kerajaan mesti dan wajib lulus temuduga yang dijalankan. Siapa yang dah lulus peperiksaan SPA, pasti akan dipanggil oleh pihak SPA untuk sesi temuduga ini - bergantung dengan jawatan kosong SPA dipohon.

Ramai yang terkandas, terutama graduan pertama kali menerima panggilan temuduga jawatan kosong SPA. Masalah utama mereka yang gagal dalam temuduga adalah kerana tidak bersedia, dan tak tahu cara nak lulus.

Ramai graduan gagal. Ramai yang over-confident dengan kelulusan dan pengalaman lampau semasa melakukan pratikal di tahun akhir.

Kelulusan akademik bukan faktor utama untuk berjaya dalam sesi temuduga atau interview kerja kerajaan. Banyak kemahiran diambil kira.

Penemuduga pula bukan sebarangan orang, mereka terdiri dari kalangan mereka yang arif, profesional dan hebat dalam pengurusan sumber manusia.


Jika anda calon yang dipanggil untuk sesi temuduga jawatan kosong SPA, pasti anda tidak mahu gagal. Sangat ramai yang kecewa apabila tak dapat nak lulus temuduga kerja kerajaan ini. Biasalah yang mohonnya ramai, tetapi slotnya sikit. Kena pula pengambilan kakitangan kerajaan sangat ketat.

Jadi kali ni iKerjayaGraduan nak kongsikan beberapa panduan, cara dan tips temuduga kerajaan. Semoga ianya dapat membantu anda semua, terutama yang telah dipanggil untuk sesi temuduga jawatan oleh SPA.

1. Jagalah Penampilan diri Ketika Hadir Temuduga

Penampilan diri penting untuk lulus temuduga SPA
Penampilan diri perlu dijaga semasa menghadiri temuduga atau interview kerja kerajaan. Anda perlu nampak skema pada hari temuduga tersebut.  Yang penting nampak kemas, profesional dan menarik. Namun, jangan over .. berpadalah. Tak mahulah gaya anda mengalahkan seseorang berjawatan Perdana Menteri.

2. Sentiasa Bersikap Tenang Sepanjang Temuduga

Anda kena datang dalam keadaan tenang dan jangan kelam-kabut. Ini pentingnya anda melakukan persediaan awal mental dan fizikal. Dah bersedia untuk segala kemungkinan. Sentiasa persiapkan diri daripada segi:
  • Resume telah pun disiapkan. Pastikan semua dokumen yang diperlukan sudah berada dalam fail holder berdasarkan permintaan dalam surat panggilan temuduga yang diterima sebelum ini. 
  • Sangat penting agar pastikan segala dokumen disusun mengikut urutan. 
  • Tahu lokasi temuduga. Jangan silap pergi ke tempat temuduga yang bukan untuk anda.
  • Tidur awal dan cukup (disiplin diri iaitu datang awal)

3. Tahu Tugas, Skop serta Peranan Jawatan Kerajaan Dipohon

Mahu lulus temuduga kerja kerajaan yang anda pohon, wajib tahu tugas, skop serta peranan bagi jawatan tersebut. Anda juga perlu selidik struktur dan organisasi kerajaan. Buatlah sedikit kajian mengenai beberapa jabatan atau kementerian terutamanya tugas-tugas yang dipikul oleh jabatan yang berlainan.

Buat perbandingan dengan pentadbiran negeri (dan sebagainya) untuk memahami perbezaan dari segi struktur dan fungsi. Ini terutamanya penting untuk mereka yang bakal menghadiri temuduga PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik).

4. Buat Homework Berkaitan Jawatan

Buat homework dan latih tubi berulang kali. Jangan menghafal tetapi memahami. Contoh terbaik soalan lazim temuduga SPA ialah:

"Jika anda keluar dari sektor swasta dan masuk ke jabatan kerajaan, bagaimana anda boleh meyakinkan kami bahawa anda tidak akan keluar dan masuk semula ke sektor swasta?"

"Seorang pegawai kerajaan akan sentiasa menghadapi kemungkinan untuk dipindah lokasi dan tempat bekerja. Terangkan respons anda terhadap komitmen sebegini. Bagaimana anda akan menyelesaikan segala cabaran yang muncul dalam proses perpindahan ini?"

Jadi, anda kena sentiasa bersedia dengan soalan-soalan sebegini. Jangan kerana jawapan anda itu bakal menyebabkan anda gagal lulus dalam temuduga jawatan kosong SPA yang diminta. Sayang weih...

5. Isu semasa

Anda kena rajin membaca. Mesti ambil tahu isu semasa dan terkini di Malaysia sebab kemungkinan besar penemuduga akan bertanya soalan-soalan berkaitan isu semasa.

Sebagai contoh, panel penemuduga berkemungkinan bertanyakan pendapat anda tentang dasar luar terbaru Amerika di bawah pemerintahan presiden terkini. Manakala, dari konteks dalam negeri, anda mungkin diminta menghuraikan pandangan tentang konsep Malaysia Baharu atau mungkin memberikan pandangan berkaitan sistem percukaian di Malaysia.

6. Berusaha Walaupun Tidak Tahu

Berusaha untuk memberikan jawapan kepada setiap soalan temuduga yang ditanya, walaupun anda tidak pasti atau mungkin tidak tahu jawapan yang tepat. Elakkan diri daripada bersikap pasif, pendiam semasa temuduga kerajaan ini. Elakkan sesi temuduga menjadi hambar.

Kalau teruskan juga, harapan anda untuk masuk kerja ke sektor kerajaan makin menipis! Sia-sia nanti anda mohon kerja jawatan kosong SPA.

Ingatlah! Bukan sesuatu yang memalukan jika anda tak tahu jawapan kepada sesuatu soalan temuduga.

Tetapi, jangan pula anda sekadar menjawab "maaf, saya tidak tahu".

Sebaliknya, cuba terangkan sejauh mana yang anda tahu dan tunjuk usaha kepada penemuduga bahawa anda sanggup bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu ilmu atau maklumat.


7. Bersemangat dan Bercita-Cita 

Panel penemuduga sangat sukakan calon yang bersemangat dan bercita-cita tinggi. Anda perlu menjadi calon seperti ini.

Sebenarnya, selain daripada menguji pengetahuan, penemuduga ingin mengetahui sejauh mana usaha atau inisiatif anda untuk mencuba. Mereka juga ingin bersemuka dengan calon perkhidmatan awam yang mempunyai kemahiran berkomunikasi. Tunjukkan anda boleh membuat analisa kepada sesuatu persoalan dan isu yang diberikan.

Nak lulus temuduga kerja kerajaan, anda mesti bersemangat! Jangan lesu dan nampak lemah!.

8. Sokong Dasar Kerajaan

Tidak kira apa fahaman politik anda sekalipun, mesti menyokong dasar kerajaan terkini semasa ditemuduga. Anda akan berkhidmat dalam kerajaan, dan bukan dalam parti politik.

9. Buktikan Minat 

Buktikan yang anda sememangnya sangat berminat jika diberikan peluang untuk bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Tunjukkan keyakinan dan semangat anda kepada panel penemuduga (biasanya akan ditanya pada sesi akhir temuduga, samada anda mahu katakan sesuatu nanti).

Beritahu harapan dan fokus anda dalam kerjaya kerja kerajaan yang anda pohon kepada penemuduga. Pastikan ia kena dan selaras dengan misi perjawatan kerja kerajaan.

10. Jangan Terlalu Peramah

Tak salah kalau anda nak jadi peramah tapi jangan sampai mengganggu orang lain. Jangan terlalu over dengan penemuduga. Hormati mereka yang menemuduga. Mereka itu yang akan luluskan atau gagalkan sesi temuduga kerja jawatan kerajaan yang dipohon.

Tapi janganlah senyap sangat. Orang tanya sepatah, anda jawab sepatah. Bersederhana.

Jawab soalan-soalan temuduga berdasarkan fakta dan dengan penuh kredibiliti.

Rugi jika tak lulus setelah berhempas-pulas jawab soalan peperiksaan SPA. Rugi jika abaikan tips dan cara nak lulus temuduga ini, sebab banyak kelebihan kerja kerajaan yang bakal anda lepaskan.