Pada tahun 1938, latihan sambil bekerja jururawat yang pertama diadakan di Johor Bahru. Ianya terhenti apabila perang dunia kedua melanda pada tahun 1942 hingga 1945. Pada tahun 1946, Sekolah Kejururawatan yang pertama ditubuhkan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Kerjaya Jururawat di Malaysia
Jururawat adalah satu kerjaya yang unik kerana ia mempunyai kombinasi "seni" dan "sains". Membantu pesakit sambil mengambil inisiatif pendidikan penjagaan diri sendiri sepanjang masa dan menghulurkan bantuan kepada orang lain apabila mereka sendiri tidak mampu untuk menjaga dan merawat diri sendiri. Kerjaya ini turut memperkenalkan kesihatan, menolong orang ramai menjadi lebih sihat dan menolong mereka yang sakit meneruskan kehidupan sehingga menjelang usia tua mereka.
Jururawat - Permintaan Tinggi
Bidang kerjururawatan dikatakan unik kerana ia mempunyai keperluan dan permintaan yang tinggi selari dengan teknologi semasa dunia perubatan. Perubahan, penambahbaikan dan peningkatan dalam kerjaya ini sentiasa dititikberatkan untuk menyahut cabaran negara maju menjelang tahun 2020.Perkembangan bidang ini dapat diperhatikan menerusi penambahbaikan skim perkhidmatan Jururawat yang ditingkatkan dari Kumpulan Pelaksana kepada Skim Perkhidmatan Bersepadu. Gred jawatan jururawat yang dahulunya setakat Gred U40 sahaja kini telah diperluaskan kepada Gred U41 hingga ke Gred U54.
Keperluan Kerjaya Jururawat Menurut WHO
World Health Organization (WHO) menetapkan bilangan jururawat kepada penduduk dengan nisbah 1:200. Untuk mencapai jumlah tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat perancangan bagi melatih individu yang berminat untuk menjadi jururawat. Direkodkan bahawa Institut Latihan KKM telah melahirkan 3,000 jururawat yang kompeten dan berwibawa setiap tahun.
Jururawat yang tamat tempoh latihan akan ditempatkan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Bilangan jururawat dijangkakan akan terus meningkat dengan adanya pengambilan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di bawah kategori Separa Perubatan.
Karektor Yang Perlu Ada Untuk Menjadi Jururawat Profesional
Seorang jururawat yang profesional perlu memiliki sikap positif, cergas, penyayang, jujur, penyabar, sopan, prihatin, mampu berkomunikasi dengan berkesan. Selain itu, seorang jururawat yang profesional perlu mengambil inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang kejururawatan itu sendiri. Ini penting bagi memastikan seseorang jururawat tersebut mengikuti perkembangan terbaru berkaitan dengan perkembangan teknologi kesihatan dan perubatan semasa.Jururawat yang profesional perlu mematuhi semua etika kerja yang telah digariskan. Untuk berkhidmat dengan cemerlang, seseorang jururawat perlu menerapkan ciri-ciri seperti kreatif, inovatif, berfikiran kritis, komited dalam menjalankan tugas, dedikasi, bersikap pemimpin dan mempunyai kemahiran khusus serta mampu mencapai tahap pakar. Namun begitu, perkara yang paling utama ialah disiplin, boleh bekerjasama sebagai satu pasukan dan patuh pada peraturan yang telah ditetapkan.